MELAKA: Tiga buah kenderaan tenggelam selepas kawasan di persimpangan Cheng di sini dilanda banjir kilat, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, kesemua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan pasukan bomba.
Penyelia Pasukan (B) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkifli Mohd. Ali berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7.25 pagi dan sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Apabila tiba di lokasi kita dapati tiga buah kereta telah tenggelam dalam banjir di persimpangan Cheng.
“Dua buah kereta telah dikosongkan, hanya sebuah kereta jenis Bently mempunyai dua penumpang termasuk seorang warga emas dan pasukan bomba telah membantu menolak kesemua kenderaan itu ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, kesemua yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan bah telah mulai surut. – UTUSAN ONLINE