SERDANG: Keinginan untuk menjadi pengusaha projek projek pertanian dipercayai menjadi punca beberapa buku terbitan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) makin popular dan mencatatkan jualan tertinggi dalam kalangan pembaca.
Tidak menolak kemungkinan itu, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, antara buku popular yang mencatatkan jualan tertinggi ialah Lebah Kelulut Malaysia, Inovasi Pertanian Bandar dan Spesies Tumbuhan Herba dan Rempah.
Buku lain katanya berjudul Poket Perosak Penyakit dan Rumpai Padi, Manual Teknologi Fertigasi Penanaman Cili dan Tomato dan Rock Melon.
“Buku ini popular hingga ada yang diulang cetak beberapa kali, “ ujarnya kepada Utusan Online sempena pelancaran empat buku terbitan MARDI hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Majlis pelancaran buku tersebut adalah sempena Hari Inovasi MARDI (HIM) 2021 yang bermula semalam dan berakhir esok.
Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, HIM yang diadakan setiap tahun mempamerkan pencapaian penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh pegawai dan kakitangan MARDI serta memberi pengiktirafan terhadap komitmen, usaha dan pencapaian yang cemerlang.
MARDI katanya sangat aktif dalam menerbitkan penerbitan ilmiah dan saintifik merangkumi buku, jurnal, prosiding, manual teknologi, buletin teknologi dan sebagainya.
“Dalam RMK-11, sebanyak 152 judul penerbitan telah diterbitkan selain 1,333 artikel berwasit dan 1,925 artikel saintifik penyelidik MARDI telah diterbitkan dalam penerbitan tempatan dan antarabangsa.
Pelbagai usaha telah dilakukan dalam menggalakkan penulisan di MARDI antaranya pemberian merit untuk kenaikan pangkat, anugerah penulis prolifik semasa Hari Inovasi MARDI, pemberian hadiah cuti belajar, penganjuran kursus penulisan dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 60,994 naskhah penerbitan MARDI berjaya dijual dan disebarkan sepanjang RMK-11.
Namun kata beliau gaya hidup digital rakyat Malaysia hari ini mesti dimanfaatkan oleh MARDI untuk menyebarkan maklumat, meningkatkan imej dan keberadaan institut.
Warga MARDI perlu mempelbagaikan gaya penulisan demi perkongsian ilmu kepada orang awam terutamanya penulisan popular, kerana gaya penulisan ini lebih mudah difahami dan dikongsikan kepada golongan sasar seperti petani, penternak, nelayan dan usahawan.
MARDI juga kata beliau perlu memanfaatkan internet yang bersifat pantas, efektif dan berpengaruh untuk berkomunikasi dengan golongan sasar memandangkan masyarakat pada hari ini mempunyai tahap pendidikan yang tinggi serta berkemahiran dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat.
MARDI juga tidak ketinggalan menerbitkan jurnal, buletin dan buku dalam bentuk digital.
“Penerbitan digital ini akan ditingkatkan dari semasa ke semasa. MARDI sedang membangunkan portal jualan buku online (e-bookshop) dan dalam perancangan untuk membangunkan perpustakaan digital,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE