KUALA LUMPUR: Hanya mahkamah yang boleh menentukan sama ada cek-cek berjumlah jutaan ringgit yang diterima oleh bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah rasuah atau sebaliknya.
Walaupun terdapat keterangan saksi menyatakan bahawa cek yang diberikan merupakan derma politik namun Mahkamah Tinggi di sini dimohon agar mengambil kira bahawa keterangan tersebut diberikan oleh saksi-saksi yang berkepentingan.
“Sekiranya benar cek-cek tersebut merupakan derma politik seperti yang didakwa oleh saksi, jadi kenapa perlu ia diberikan kepada tertuduh dan kenapa ia ditulis sebagai `dibayar kepada Lewis & Co, sebuah firma guaman yang tidak ada kena mengena dengan Barisan Nasional?
“Saksi pendakwaan ke-34, bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad (DGB), Chew Ben Ben dalam keterangannya sendiri menyatakan sekiranya tertuduh bukan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, dia tidak akan mencadangkan kepada Datuk Hanifah untuk memberikan dua keping cek kepada Ahmad Zahid,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun.
Pendakwaan berhujah demikian ketika membuat hujahan semula di akhir kes pendakwaan Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.
“Ini bukan kes biasa. Ia tidak membabitkan orang kebanyakan yang selalu ke kedai kopi, minum teh tarik sambil makan nasi lemak. Kes ini membabitkan bekas Menteri Dalam Negeri yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri yang merupakan orang kuat negara.
“Bukti yang dikemukakan perlu dinilai lebih dari apa yang dilihat atau sekadar berdasarkan pemahaman mudah sebagaimana yang dinyatakan oleh barisan pembelaan,”kata Peng Kun.
Terdahulu, pihak pendakwaan dalam hujah mereka juga menyatakan, barisan pembelaan gagal mematahkan tanggapan bahawa Ahmad Zahid telah menerima suapan.
“Sebagaimana yang telah dinyatakan pada peringkat awal hujahan dan dalam hujahan bertulis kami bertarikh 28 Mei lalu, tertuduh telah menerima beberapa kepingan cek sebagaimana yang dinyatakan dalam pertuduhan terhadapnya. Fakta ini sahaja sudah cukup untuk membolehkan tertuduh dipanggil untuk membela diri,”ujar Peng Kun.
Tambahnya, tidak cukup dengan fakta itu, pihak pendakwaan juga telah mengemukakan bukti mengikut keadaan (circumstantial evidence) bagi menunjukkan bahawa Ahmad Zahid telah menerima kesemua cek tersebut sebagai satu dorongan dan imbuhan.
Oleh itu, adalah wajar untuk Ahmad Zahid untuk dipanggil membela diri dan menyangkal tanggapan penerimaan rasuah berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Hujahan yang didengar oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.- UTUSAN ONLINE