LONDON: Newcastle mengesahkan Steve Bruce akan mengendalikan perlawanan ke-1,000 sebagai pengurus ketika Tottenham berkunjung ke St. James Park.
Bruce dilaporkan bersedia untuk dipecat selepas pengambilalihan kelab itu oleh hartawan Arab Saudi.
Pengendali berusia 60 tahun itu dikritik hebat selepas dikhabarkan skuad itu tidak gembira dengan cara dia mengendalikan pasukan.
Bagaimanapun, Bruce diberikan peluang untuk kekal sementara oleh pengarah Newcastle, Amanda Staveley namun masa depannya masih belum diketahui.
“Kami sibuk melakukan penilaian terhadap perniagaan dan mengenali orang di sini serta kami bersabar dengan keadaan semasa.
“Perubahan tidak selalunya berlaku sekelip mata, ia memerlukan masa dan kami harus memiliki strategi terbaik.
“Kami sudah bertemu dengan Steve dan pemain Isnin lalu dan memberikan mereka masa untuk fokus menyiapkan pasukan untuk aksi penting.
“Steve sangat profesional dalam hal ini dan dia bersama barisan kejurulatihan akan mengendalikan pasukan, Ahad ini,” kata Staveley dalam satu kenyataan.-AFP