KLANG: Bomoh ‘temberang’ mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menipu pasangan suami isteri yang bertemunya untuk mendapatkan rawatan selepas mendakwa terkena gangguan makhluk halus.
Majistret, P. Sarulatha kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh, Mohd. Izwan Mohd. Mohd. Ahmit, 34, sepas pendakwaan dibacakan kepadanya.
Hukuman penjara dijalani bomoh berkenaan bermula pada dia ditangkap pada 5 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu dengan curang menyalahgunakan harta iaitu 24 jenis emas bernilai RM22,910 yang diserahkan kepadanya oleh seorang lelaki berusia 48 tahun untuk tujuan rawatan.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh yang digelar ‘Tok Wan’ di sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang pada 21 Ogos lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan denda, sekiranya disabitkan kesalahan.
Terdahulu pada prosiding tersebut, Mohd. Izwan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana tidak bekerja selain perlu menanggung isteri dan empat orang anaknya.
“Saya juga menghidap penyakit darah tinggi dan kanser prostat,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli memohon hukuman setimpal terhadap jenayah dilakukan tertuduh.
Katanya, mangsa seorang wanita telah membuat panggilan kepada bomoh pengamal perubatan tradisional susulan disyaki mengalami gangguan misteri.
“Tertuduh bersama penolongnya telah hadir dan meminta mangsa menyerahkan barangan kemas agar sihir dapat dibuang.
“Selain 24 buah barang kemas emas yang diambil, mangsa turut menanggung kos rawatan berjumlah RM6,650 sepanjang berurusan dengan tertuduh,” jelasnya. – UTUSAN