PASIR MAS: Hasrat bakal pengantin perempuan mendapatkan rawatan gangguan makhluk halus bertukar tragedi apabila dia dirogol bomoh semasa upacara tersebut berlangsung di Kampung Tendong di sini, pada Khamis lalu.
Perbuatan keji bomoh digelar Ayah Su yang berusia 67 tahun terbongkar apabila mangsa membuat laporan polis pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, dalam kejadian pukul 3 petang, mangsa bersama ibu dan bakal suami ke rumah suspek untuk mendapat rawatan.
Menurutnya, suspek meminta mangsa berusia 23 tahun masuk ke dalam bilik rawatan menerusi pintu belakang rumah sambil dibawa oleh Mok Su, iaitu isteri kepada bomoh tersebut.
“Semasa ditinggalkan dalam bilik bersendirian bersama suspek, lelaki itu meminta mangsa menanggalkan seluar dipakainya kononnya sebahagian daripada rawatan. Dia kemudian bertindak menggosok paha serta kemaluan mangsa.
“Selepas memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa, suspek kemudian bertindak lebih berani dengan memasukkan alat sulitnya pula,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Nasaruddin, suspek memberi amaran supaya mangsa tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa selain meminta gadis berkenaan datang sekali lagi bagi membuat rawatan susulan.
Kata beliau, susulan laporan dibuat mangsa, polis bertindak memberkas bomoh tersebut pada pukul 12 tengah malam hari sama.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Oktober depan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan mendapati suspek aktif menjalankan perubatan tradisional sejak 1985. Selain itu kita juga dapati suspek menggunakan modus operandi gangguan makhluk halus sebelum ‘meratah’ mangsa,” katanya.
Mohd. Nasaruddin tidak menolak kemungkinan itu bukan kejadian pertama berlaku dan menyeru mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa perbuatan suspek turut tampil membuat laporan polis.
“Orang ramai perlu berhati-hati ketika menjalani sebarang rawatan dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku perkara yang membabitkan kejadian jenayah seperti ini,” katanya. – UTUSAN