Bomba Negeri Sembilan pantau lokasi terjejas banjir - Utusan Malaysia

Bomba Negeri Sembilan pantau lokasi terjejas banjir

ANGGOTA bomba memantau situasi banjir kilat dan limpahan air sungai di Kampung Jimah Baru, Port Dickson berikutan hujan lebat yang berlaku sejak tengah hari tadi.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan kini memantau situasi beberapa lokasi di negeri ini yang dinaiki air dan berlaku banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan sejak tengah hari tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, JBPM negeri, Penguasa Bomba Mohamad Hafiz Ahmad Termizi berkata, anggota dan aset kenderaan marin telah dikerah dan digerakkan bagi memantau keadaan penduduk yang terjejas dan akan menjalankan penyelamatan sekiranya terdapat penduduk yang terperangkap di dalam rumah.

“Pihak bomba sedang melakukan pemantauan berikutan taburan hujan yang begitu tinggi di beberapa lokasi di daerah Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah. Kami telah menurunkan anggota dan aset kenderaan marin telah mengadakan rondaan bagi memantau keadaan penduduk di beberapa lokasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Jimah Baru di sini hari ini.

Jelas Mohamad Hafiz lagi, pihaknya turut menempatkan beberapa orang anggota di Kampung Jimah Baru di sini berikutan terdapat limpahan air dan taburan hujan yang tinggi di kampung berkenaan.

“Pemantauan sedang dilakukan dan penyelamatan akan dilakukan sekiranya ada mana-mana mangsa yang terkandas di dalam rumah. Setakat ini, tiada mangsa yang terlibat.

“Apabila melihat kepada taburan hujan ketika ini, air sungai dijangka meningkat dan kami akan meneruskan pemantauan,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu berharap orang ramai dapat menerima nasihat daripada pasukan menyelamat termasuk bagi mengelakkan risiko haiwan berbisa terutama ketika banjir kilat berlaku.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya