Boleh salur maklumat, tetapi bukan dengan cara tular - Utusan Malaysia

Boleh salur maklumat, tetapi bukan dengan cara tular

BAHRIN MOHD. NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: “Boleh salurkan maklumat tetapi bukan dengan cara tular,” kata Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Mohd. Noh.

Bahrin memberi reaksi itu ketika ditanya sama ada orang ramai boleh membuat pendedahan berkaitan kegiatan jenayah dengan cara menyebarkan imej serta video secara tular di media sosial terutama yang berlaku di sekitar Segamat. 

Menurut Bahrin, pihak polis sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah tetapi bukan dengan menularkannya di laman sosial.

“Boleh salurkan maklumat tetapi bukan dengan cara ini dan kita harap sangat jangan tularkan kerana tindakan itu boleh membahayakan diri mereka (pengadu).

“Dalam masa yang sama ianya berkemungkinan tidak tepat serta ditokok tambah serta diubahsuai imej boleh menyebabkan kekeliruan serta mendatangkan kegusaran kepada umum.

“Maklumat diterima akan diproses dan tindakan lanjut akan diambil. Kita akan merahsiakan identiti pengadu, ini jadi prosedur operasi standard (SOP). Kalau tular serta tidak tepat bukan mudah untuk menjelaskan semula kenyataan kepada awam serta mengganggu siasatan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, hari ini. 

Bahrin berkata, kerjasama masyarakat sememangnya diharap sentiasa berterusan bagi membantu polis membanteras kegiatan jenayah termasuk perjudian haram secara dalam talian.

Kata beliau, maklumat itu boleh disalurkan dengan menghubungi talian terus polis Segamat iaitu 07-9312222.

Ujarnya, beliau juga kerap mengadakan mesyuarat khas dan membentuk pasukan task force bagi keperluan utama membanteras kegiatan perjudian umpamanya dan lain-lain kegiatan jenayah di sekitar Segamat.

“Pihak kita memang memandang serius antaranya kegiatan curi tabung kutipan rumah ibadah, curi kenderaan, jenayah komersial, jenayah kekerasan, perjudian haram termasuk secara dalam talian dan saya sudah memberi arahan kepada semua anggota polis daerah ini untuk pastikan tiada mesin judi haram dan kegiatan berkaitan dijalankan di premis.

“Pasukan kita sentiasa memantau, mereka ini (sindiket perjudian) kita ibaratkan mereka ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’ kerap cuba melakukan kegiatan secara sembunyi serta berpindah randah,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai terus menjadi mata dan telinga kerana ia memerlukan tindakan bersepadu antara polis dan masyarakat.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya