JOHOR BAHRU: Keputusan melaksanakan semula projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dan bukan Singapura hanya satu pembaziran serta tidak mempunyai nilai ekonomi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal itu kerana Johor Bahru bukanlah satu kuasa besar ekonomi.
Menurut beliau, sewaktu pandemik Covid-19, bandar raya ini berada dalam kedudukan pegun khususnya dalam pertumbuhan dan keberdayaan tanpa pemain, pelabur dan pelancong dari Singapura.
“Menghidupkan HSR tanpa Singapura hanya satu pembaziran dan tidak mempunyai nilai ekonomi.
“Singapura adalah kuasa ekonomi Asia yang mampu menawarkan limpahan kemakmuran ekonomi yang luar biasa kepada Malaysia di mana yang menjadi halangan adalah keterhubungan yang pantas, selamat, lestari dan murah.
“Dalam era penyambungan pantas, prasarana rel berkelajuan tinggi adalah apa yang Malaysia sangat perlukan sama ada Singapura-Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur-Bangkok, Malaysia wajar membinanya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled berharap kerajaan tidak membuang masa dan wang dengan cadangan yang tidak berdaya maju.
“Alasan kos dan kemampuan kerajaan adalah alasan mereka yang gagal berimaginasi.
“Semasa kita membangunkan Putrajaya dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dahulu, kita bukan negara kaya tetapi kita melaksanakannya kerana perancang ekonomi waktu itu mempunyai visi ekonomi mendahului masa,” ujarnya.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut memberitahu bahawa negara memerlukan perancang ekonomi yang boleh membongkar kekuatan sebenar Malaysia melalui keterhubungan serantau.
“Saya berharap Perdana Menteri tidak mengulangi pelbagai kesilapan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Saya yakin Perdana Menteri berkehendakkan pemulihan ekonomi Malaysia yang radikal dengan pelaksanaan projek berdaya saing dan berkehasilan berganda.
“Jika tidak, Malaysia akan terus menjadi negara dunia ketiga yang sedikit lebih baik dan membangun dari negara ketiga yang lain,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE