Bicara ditangguh, peguam hadir pengebumian pengajar - Utusan Malaysia

Bicara ditangguh, peguam hadir pengebumian pengajar

MUHAMMAD Shafee Abdullah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan terhadap tuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib Tun Razak. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan sehingga 26 Oktober ini perbicaraan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi tuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan penangguhan kerana peguam Harvinderjit Singh yang mengetuai pasukan pembelaan perlu menghadiri upacara pengebumian pengajar (Master) beliau sebelum diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara.

Seorang lagi peguam, Sarah Abishegam ketika memaklumkan perkara itu berkata, kedua-dua pihak telah bersetuju dengan tarikh gantian iaitu pada 26 dan 27 Oktober ini.

Pihak pembelaan turut memohon tarikh perbicaraan pada November ini dilapangkan kerana Muhammad Shafee terikat dengan kes lain.

Jelas Sarah, seramai tiga saksi lagi akan dipanggil memberi keterangan dan perbicaraan selama empat hari adalah memadai bagi mendengar keterangan mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang mengetuai pendakwaan mengesahkan bahawa pihaknya tiada bantahan terhadap penangguhan dan tarikh-tarikh yang dicadangkan seterusnya pada 8 dan 10 Disember ini.

Muhammad Shafee didakwa terhadap dua tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul.

Penyata itu bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN