GUA MUSANG: Seorang pemuda melakukan pengorbanan besar dengan berhenti kerja bagi membantu meringankan beban ibu untuk menjaga abangnya yang menghidap penyakit hipertensi atau tekanan darah tinggi.
Raja Mohd. Iskandar Raja Ibrahim, 24, dari Kampung Star Baru, di sini menguruskan abangnya, Raja Azlan, 35, yang hilang upaya untuk bergerak dan berjalan selepas menjalani pembedahan empat bulan lalu.
Menurut Raja Mohd. Iskandar yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik, sebelum ini dia bekerja di sebuah kilang di Selangor, namun nekad berhenti kerja dan pulang ke kampung semata-mata mahu menjaga abangnya.
Katanya, sebelum ini berat badan Raja Azlan mencecah 200 kilogram, namun kini beratnya susut selepas menjalani pembedahan otak di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada bulan Jun lalu.
“Abang pernah bekerja sebagai pemandu lori ais dan dialah tempat bergantung kami sekeluarga selepas bapa meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu. Namun, kini abang hanya mampu terlantar di katil dan segala pergerakannya perlu dibantu.
“Saya ada juga mencari pekerjaan di kampung bagi membantu menyara ibu dan abang namun belum ada rezeki untuk dapat kerja baharu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Star Baru, di sini hari ini.
Sementara itu, ibunya, Jahiyah Junus, 60, berkata, dia perlu menyediakan lebih RM1,000 sebulan bagi membeli susu dan lampin pakai buang Raja Azlan.
Katanya, ketika ini dia hanya menggunakan wang simpanan untuk membiayai kos keperluan anak keempat daripada lapan beradik itu.
“Sebelum ini, kami menggunakan baki wang gaji Raja Azlan yang dibayar majikan selama dua bulan. Lepas ini duit itu sudah habis digunakan dan kami hanya mengharapkan sedekah yang diberikan orang kampung.
“Semua anak saya bekerja sendiri atau swasta dan mereka yang sudah berkeluarga tidak mampu untuk membantu,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank milik Raja Mohd Iskandar bernombor 162218764322 atau hubunginya di talian 017-9323282. -UTUSAN ONLINE