Berjasa sedia bertanding 46 Parlimen, 29 DUN - Utusan Malaysia

Berjasa sedia bertanding 46 Parlimen, 29 DUN

ZAMANI Ibrahim (tiga kiri) menurunkan tandatangan pada bola melancarkan penubuhan Berjasa FC sambil diperhatikan Ketua Pemuda, Fahmi Bazlan Muda serta merasmikan 20 cawangan Berjasa bagi Parlimen Shah Alam di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 46 Parlimen dan 29 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dijangka menjad medan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pertembungan itu dijangka melibatkan parti seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Berjasa (Berjasa).

Berjasa menyatakan hasrat bagi bertanding di jumlah kerusi itu termasuk Parlimen Shah Alam dan dengan mengakui mempunyai calon muda yang segar untuk ditawarkan kepada pengundi khususnya berusia 18 tahun (Undi 18).

Perkara itu didedahkan Presidennya, Zamani Ibrahim yang menjelaskan bersedia untuk bertembung dengan parti besar dalam PRU-15, namun dalam masa sama turut bersedia bekerjasama sekiranya membawa agenda sama.

“Sesiapa sahaja yang sudi membina semula negara, memberikan muka baharu kepada kepimpinan yang segar, berwibawa dan berani membawa agenda bangsa dan negara, kita bersedia untuk bekerjasama, itulah kita bukan memilih tetapi membuka kepada mereka yang ingin membawa agenda bersama.

“Kita bersedia untuk bersaing tiga penjuru atau lebih jika keadaan terpaksa. Sebab hasrat kita adalah untuk membina semula negara. Kalau parti yang ada memutuskan calon lama dan tidak boleh pergi jauh, kenapa Berjasa perlu duduk diam sedangkan kita ada calon baharu yang mampu untuk membina semula negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan jentera Berjasa untuk menghadapi PRU-15 bagi Parlimen Shah Alam di sini hari ini dan mengumumkan pembentukan 20 cawangan dalam parlimen itu apabila menerima lebih 1,000 keahlian.

Turut dilancarkan adalah kelab bola sepak Berjasa FC sebagai usaha mewujudkan aktiviti parti itu bersama generasi muda.

Dalam pada itu, Zamani turut memaklumkan, beberapa bahagian dan cawangan bersedia untuk dilancarkan serta jelajah ke kawasan juga akan diadakan apabila kelonggaran untuk merentas negeri dibenarkan tidak lama lagi.

“Kalau ikut negeri, kita ada di semua tempat kecuali Sabah dan Sarawak, kalau di Selangor, dimaklum tadi ada banyak bahagian serta cawangan, kalau di Negeri Sembilan ada lima bahagian dan cawangan.

“Sekarang ini, kita rancak memulakan ziarahi pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jika sekiranya parti sedia ada ingin membina semula negara, silakan. Tetapi jika masih mengemukakan muka lama, tidak ada motivasi maka kita bersedia untuk memilih (menawar) jajaran ketiga,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya