PETALING JAYA : Kapten skuad Harimau Malaya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak menuntut rakan sepasukannya mempamerkan aksi terbaik menjelang aksi berdepan Jordan malam ini di Stadium King Abdullah II, Amman biarpun ia sekadar perlawanan persahabatan.
Tambahnya, keputusan seri mampu dijelmakan skuad kebangsaan sekiranya pasukan memberi fokus sepenuhnya dan kurang melakukan kesilapan dalam aksi berkenaan sekali gus meraih mata bagi memperbaiki kedudukan ranking FIFA.
“Saya harap dan ingatkan diri sendiri untuk cuba kurangkan lakukan kesilapan, mustahil untuk tidak melakukan sebarang kesilapan tetapi jangan terlalu banyak.
“Bertemu dengan pasukan seperti ini (Jordan atau Uzbekistan), kalau lakukan kesilapan mudah mereka akan ‘bunuh’ (hukum lawan) kita. Pertahanan adalah benteng terakhir dan memainkan peranan penting.
“Kalau kurang melakukan kesilapan sekurang-kurangnya kita mampu meraih keputusan seri dan tidak tewas,” katanya dalam sidang media secara maya, semalam.
Sepanjang empat pertemuan dengan Jordan yang kini menduduki ranking ke-93 dunia, skuad Harimau Malaya meraih dua keputusan seri dan kalah, di mana aksi pertama pada tahun 1988 dan kali terakhir bertemu pada Ogos 2019 iaitu tewas 0-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dengan kombinasi muka baharu dan lama, jurulatih negara Tan Cheng Hoe perlu mencari ramuan untuk menurunkan barisan terbaik namun beliau menegaskan bahawa persaingan 22 pemain merebut tempat dalam kesebelasan utama sangat sengit.
Tambahnya, walaupun turun tanpa beberapa tonggak kali ini namun bekas jurulatih Kedah itu meletakkan kepercayaan tinggi kepada pemain-pemain dibawanya kali ini.
“Dalam beberapa hari sesi latihan, memang ada peningkatan ditunjukkan oleh semua pemain dari segi permainan dan taktikal. Kita tidak beri tekanan yang tinggi kepada pemain kerana paling utama mereka tunjukkan prestasi terbaik.
“Walaupun kita tanpa beberapa pemain tonggak kali ini, saya harap para pemain yang diturunkan tetap dapat mempamerkan persembahan terbaik seperti yang diharapkan.
“Kalau tidak yakin dengan kemampuan 22 pemain ini, sudah tentu kami barisan jurulatih tidak akan memanggil mereka bersama pasukan. Ini medan pendedahan untuk memperbanyakkan pemain dan membentuk pasukan terkuat pada masa akan datang,” ujarnya.
Dengan kombinasi muka baharu dan lama, jurulatih negara Tan Cheng Hoe perlu mencari ramuan untuk menurunkan barisan terbaik namun beliau menegaskan bahawa persaingan 22 pemain merebut tempat dalam kesebelasan utama sangat sengit.