GEORGETOWN: Selepas hampir dua tahun terpaksa menutup agensi pelancongan miliknya akibat pandemik Covid-19, Megat Muhammad Farhan Hussain, 33, akhirnya dapat membuka kembali agensi berkenaan awal bulan ini.
Megat Muhammad berkata, dia memberanikan diri untuk membuka kembali operasi Qaliff Travel Sdn. Bhd. yang ditutup sejak tahun lalu selepas kerajaan membenarkan rentas negeri pada 11 Oktober.
Dia bersyukur kerana permintaan orang ramai untuk melancong di dalam negeri terutama ke Pulau Langkawi masih ada dan agensinya juga berjaya memperoleh tempahan daripada pelanggan.
“Saya beranikan diri untuk buka kembali operasi syarikat selepas dua hari kerajaan benarkan rentas negeri.
“Kita tidak pasti apa yang menanti pada masa depan, namun saya tiada pilihan lain kerana jiwa saya lebih kepada bidang pelancongan dan saya bersyukur kami ada terima tempahan daripada pelanggan untuk ke Langkawi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Megat Muhammad Farhan, buat masa sekarang agensi pelancongan Qaliff Travel lebih menumpukan kepada tawaran untuk pakej percutian secara persendirian.
“Ini kerana saya dapati ketika ini minat orang ramai lebih cenderung untuk bercuti bersama keluarga secara persendirian dan bagi yang berminat untuk mendapatkan pakej percutian mereka boleh berhubung di talian 016-2636300 atau 011-10660817.
“Percutian secara berkumpulan belum lagi kami buka untuk tempahan kerana memerlukan penelitian kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, agensinya yang sebelum ini turut menawarkan pakej umrah masih belum bersedia membuka pakej berkenaan kepada orang ramai.
“Pakej umrah kami belum buka untuk tempahan kerana banyak prosedur yang perlu diuruskan dan prosedur ini juga sentiasa berubah mengikut ketetapan kerajan Arab Saudi, mungkin kami akan buka tempahan selepas keadaan lebih stabil,” katanya.
Dalam pada itu, Megat Muhammad Farhan yang juga Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Mutiara Pulau Pinang berkata, pemandu pelancong yang berdaftar di negeri ini juga masih belum menerima tempahan kerja daripada pelancong walaupun rentas negeri dibenarkan.
“Kami harap operasi kapal-kapal persiaran akan dibuka selepas ini dan ketika itu mungkin pemandu pelancong ada kerja, sekarang ini memang tiada langsung tempahan daripada pelanggan,” katanya. -UTUSAN ONLINE