PETALING JAYA: Pelakon jelita, Siti Saleha menegaskan dia belum bercerai dan berharap orang ramai tidak keliru dengan status rumah tangganya yang terkini.
Dia, menerusi pesanan WhatsApp memberitahu setakat ini hanya memfailkan permohonan untuk bercerai.
“Saya failkan cerai atas kebenaran mahkamah.
“Belum cerai lagi. Harap tidak keliru. Itu sahaja boleh komen, terima kasih,” jawabnya.
Siti Saleha dan suami, Ahmad Lufti Azhar, 35, menghadiri prosiding sebutan kes perceraiannya yang diadakan di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor Rabu lalu.
Prosiding yang berlangsung sekitar pukul 10 pagi itu dilakukan dihadapan Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim.
Dalam pada itu, pelakon yang mesra dengan panggilan Sally ini tampil memuat naik gambar terbaharu di Instagram, tidak lama selepas berita permohonan cerainya menjadi tular.
“I’m good (saya baik-baik sahaja),” tulisnya.
Gambar terbaharunya itu menerima lebih 92,000 likes dan dihujani simbol ‘hati’ yang dilayangkan netizen termasuk rakan artis seperti Ayda Jebat, Sara Ali, Elly Mazlein, Hunny Madu, Tiz Zaqyah, Mimi Fly dan ramai lagi.