SHAH ALAM : Seorang bekas pembantu akaun sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah berjumlah RM5,414,230.51 antara Januari 2018 sehingga Jun 2020.
Tertuduh, Emmy Marlina Ishak, 39, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Helina Datuk Sulaiman.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, Emmy yang bertugas sebagai pembantu akaun di syarikat Awrah Bina Sdn. Bhd. dituduh melakukan pecah amanah berjumlah RM5,414,230.51.
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di syarikat tersebut di Taman Dagang Permai, Ampang antara 2 Januari 2018 sehingga 25 Jun 2020.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis terdekat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah dengan alasan sudah tidak bekerja dan hanya bergantung kepada suaminya yang bertugas sebagai penguat kuasa di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mahkamah menetapkan jaminan RM9,000 bagi kesemua pertuduhan selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Tertuduh turut diarah melapor diri setiap dua minggu sekali di balai polis terdekat dengan tempat kediaman.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 29 November hadapan.- UTUSAN ONLINE