GEORGETOWN: Bekalan elektrik di Jambatan Pulau Pinang yang mengalami gangguan pada malam Jumaat lalu sehingga menyebabkan pengguna terpaksa bergelap ketika menggunakan jambatan berkenaan kembali berfungsi sepenuhnya awal pagi ini.
Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Syed Mohammed Idid berkata, bekalan elektrik di jambatan berkenaan kembali normal pukul 3.19 pagi ini selepas punca gangguan dikenal pasti dan diperbaiki.
“Hasil siasatan mendapati kerosakan kabel di Kilometer (KM) 38 menyebabkan bekalan elektrik terputus di jambatan dan plaza tol pada Jumaat lalu.
“Namun, kabel ini telah berjaya dibaiki dan operasi kembali normal sepenuhnya, keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami dan kami akan melakukan segala yang perlu bagi memastikan keselesaan pelanggan sepanjang perjalanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Jambatan Pulau Pinang dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik bermula pukul 8.23 malam Jumaat lalu.
Kejadian gangguan bekalan elektrik di Jambatan Pulau Pinang itu menyebabkan kesesakan di plaza tol jambatan berkenaan.
Dalam kejadian berkenaan, bekalan elektrik di kawasan sekitar kawasan pulau dan Seberang Jaya yang menghubungkan kepada jambatan turut terjejas buat sementara waktu.
Sementara itu, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan semakan dengan pihak PLUS mendapati gangguan berpunca ketika pihak PLUS sedang giat menjalankan kerja-kerja pemulihan bekalan.
TNB bagaimana sentiasa sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada PLUS bagi membolehkan bekalan dikembalikan sepenuhnya setelah kerja-kerja baik pulih oleh pihak
PLUS selesai. – UTUSAN










