KOTA KINABALU: Pembentangan Bajet 2022 dilihat mempunyai hala tuju jelas ke arah membantu memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, usaha memacu pertumbuhan ekonomi amat penting dalam usaha memulihkan ekonomi negara daripada pandemik ini.
Beliau berkata, intipati pembentangan Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam selaras dengan hala tuju Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) yang menitikberatkan kebajikan golongan wanita, warga emas, ibu atau bapa tunggal, orang kelainan upaya (OKU) serta kanak-kanak.
Penekanan kepada golongan sasar di bawah KPMKR amat bertepatan dengan tema Keluarga Malaysia, Makmur Bersama.
“Kita menyambut baik pembentangan Bajet 2022 dan keputusan kerajaan untuk memperkasa Bahagian D11 Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak adalah sangat wajar.
“Selain itu, bantuan-bantuan kepada ibu tunggal dan warga emas juga dipertingkatkan nilainya mengikut kriteria-kriteria yang ditetapkan di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
“Ini susulan ramai golongan terkesan termasuklah golongan muda. Namun, dengan adanya inisiatif jamin kerja untuk 600,000 peluang kerja, program MyStep untuk 80,000 orang peserta dan lain-lain inisiatif latihan serta peningkatan kemahiran maka, peluang untuk membantu penempatan pekerjaan dan pemulihan semula ekonomi dapat dilakukan,” katanya.- UTUSAN ONLINE