PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin memohon kerajaan agar membuka ruang perbincangan bersama pengusaha-pengusaha sektor majlis sosial dalam kawasan tertutup yang turut terkesan ketika ini.
Mila menerusi Instagramnya berkata, tindakan tersebut membolehkan pengusaha, termasuk mereka yang mahir dalam industri perkahwinan memberi pandangan untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan beban yang ditanggung golongan tersebut sejak wabak Covid-19 melanda negara dan seluruh dunia amnya.
“Menteri berbincang sesama menteri, jemputlah yang mahir dalam industri perkahwinan dan pengelola dewan majlis untuk bincang satu meja berbagi pendapat. Bukan kami tak faham, cuma bagi peluang untuk kami usahawan yang terkesan beri buah fikiran.
“Moga dapat cari satu cara untuk bantu kami gerak walaupun dalam skala mikro. Banyak proposal (cadangan) dari usahawan dalam industri perkahwinan tetapi semua berakhir di dalam kumpulan WhatsApp. Di channel (saluran) kami semua ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga tak ada apa-apa tindak balas. Seperti hanya tempat melepaskan aduan yang tiada jalan penyelesaian.
“Moga ada cara untuk saya dan pasukan duduk semeja dengan pihak berkuasa, memberi buah fikiran kami untuk ditimbang tara,” tulisnya.
Mila mengulas berkenaan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang baru-baru ini memberi bayangan tentang majlis sosial dalam kawasan tertutup mungkin menjadi sektor terakhir akan dibuka dalam Pelan Pemulihan Negara.
Tegas Mila, keluhan dibuat bukan bersifat persendirian, malah merangkumi luahan yang disuarakan sahabat seindustri yang juga berkongsi masalah yang sama.
“Bukan hanya untuk saya dan BIZMILLA, tapi saya bercakap untuk semua sahabat industri yang sangat tenat dan penat.
“Kepada semua yang komen disini berbau negatif kepada saya, saya maafkan. Anda tidak berada di situasi kami yang tertekan dengan pembatalan, pemulangan semula (wang), kos tetap, sewa, staffing (bayaran gaji kakitangan) beratus ribu.
“Jangan cakap tak tukar bidang? Ada sahabat-sahabat usahawan industri sosial dah jual pisang goreng, semua buat apa sahaja yang termampu dan apa juga rezeki lain yang Allah bagi,” ujarnya.