IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membidas komen negatif berbentuk perkauman terhadap pemain badminton negara yang beraksi pada kejohanan Piala Sudirman, S. Kisona.
Menurutnya, komen itu satu tindakan biadab yang tidak mencerminkan keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Dalam keluarga Malaysia, kita ini yang diumpamakan seperti setandan pisang, ada yang elok, ada yang buruk. Jadi ada juga keluarga kita yang bangang dan bodoh yang tidak tahu untuk menggunakan bahasa dengan baik.
“Tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun atau Murut, mereka berjuang untuk mengharumkan nama negara.
“Jadi, jangan kita hina bangsa, kulit mahupun agama sesiapa juga yang telah berjuang untuk negara,” katanya selepas menziarahi keluarga yang memerlukan bantuan rumah di Manjoi di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Faizal memuji aksi emas skuad badminton negara ketika beraksi menentang Jepun meskipun tewas pada peringkat separuh akhir kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland awal pagi tadi.
Menurutnya, prestasi cemerlang dipamerkan skuad negara itu apabila melepasi sasaran asal mara ke peringkat suku akhir.
“Saya kagum dengan prestasi mereka, pemain telah bermain bersungguh-sungguh dan melepasi sasaran yang dijanjikan iaitu paling jauh adalah untuk sampai ke peringkat suku akhir.
“Walaupun tersingkir, mereka telah mempamerkan persembahan yang boleh dianggap sebagai ‘golden performance’. Saya kagum melihatkan kesungguhan dan semangat itu,” katanya.
Menurutnya, skuad negara juga diharap terus meningkatkan mutu persembahan mereka menjelang Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark daripada 9 hingga 17 Oktober ini.
“Apabila sasaran sebelum ini (Piala Sudirman) ke suku akhir dan ke separuh akhir, saya harap kita dapat sampai ke peringkat akhir pula.
“Apa yang kita harapkan daripada pemain adalah mereka menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan bermain bersungguh-sungguh. Apa juga keputusannya kita terima tetapi kesungguhan itu yang kita dambakan,” katanya. – UTUSAN