KOTA TINGGI: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said tidak terlibat dalam proses pelantikan Danesh Raj Nagarajan selaku Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM).
Pejabat Ahli Parlimen Pengerang dalam kenyataan memaklumkan, terdapat beberapa dakwaan tidak benar yang memberi gambaran konon pelantikan itu hasil campur tangan Azalina selaku majikan semasa kepada Danesh Raj.
“Beliau bukan sahaja tidak terlibat dengan pelantikan Danesh Raj, malah pelantikan ini adalah di luar pengetahuannya sama sekali.
“Beliau hanya mengetahui mengenai pelantikan Danesh Raj pada 5 Oktober melalui poster ucapan tahniah oleh UM yang dikongsi dan ditularkan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, semasa proses lantikan Danesh Raj dibuat juga jawatan beliau bukanlah Pegawai Khas kepada Azalina seperti digembar-gemburkan.
Katanya, Danesh Raj sebaliknya ditugaskan sebagai Pegawai Media Sosial yang mengendalikan urusan berkaitan akaun rasmi media sosial Azalina.
Jelas kenyataan itu, pihaknya yakin pelantikan tersebut berjalan secara adil dan saksama serta selaras dengan prinsip kesamarataan dan tidak mendiskriminasi seperti yang termaktub di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Pejabat ini tidak mendapat makluman dari mana-mana pihak mengenai pelantikan ini tetapi Menteri Pengajian Tinggi ada menyebut dalam Dewan Rakyat bahawa pelantikan Danesh Raj adalah atas kapasiti sebagai alumni UM.
“Sudah pasti pelantikannya telah mengambil kira pencapaian akademik dan tahap disiplin, penglibatan aktif dalam program-program dan aktiviti-aktiviti sepanjang bergelar mahasiswa UM dan seterusnya sebagai alumni UM sehingga sekarang.
“Selain itu, kenyataan Menteri Pengajian Tinggi turut menyatakan bahawa pelantikan Danesh Raj adalah keputusan kementerian itu yang ingin melihat sumbangan anak muda dalam kepimpinan organisasi di peringkat nasional terutamanya di universiti awam,” katanya.