SEREMBAN: Kekurangan bekalan ayam segar di pasaran ketika ini didakwa berpunca daripada masalah ayam di ladang yang sakit dan mati khususnya di negeri-negeri di bahagian utara Semenanjung.
Seorang peniaga ayam di Pasar Ampangan di sini, Alizan Tambi, 50, memberitahu, keadaan tersebut menyebabkan pembekal terpaksa mendapatkan ayam segar dari peladang-peladang di negeri-negeri lain bagi menampung permintaan.
“Sejak kebelakangan ini saya pun terasa berlaku kekurangan ayam segar, setiap hari sekarang ini pembekal tidak dapat memenuhi permintaan, jika saya minta 600 ekor ayam, mereka hanya mampu menyediakan 500 ekor sahaja.
“Sekarang ini saya difahamkan ayam-ayam di utara sakit dan banyak mati, kini pembekal terpaksa ambil ayam di bahagian selatan dan tengah bagi menampung permintaan, mereka menjangkakan isu ini akan berlanjutan sehingga bulan Disember nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Alizan, kekurangan bekalan turut menyebabkan harga yang diperoleh peniaga daripada pembekal juga sedikit tinggi ketika ini.
“Harga sekilogram ayam yang kami terima daripada pembekal adalah RM6.70 dan harga yang kami juga kepada RM9.50 sekilogram ketika ini. Bagi golongan peniaga pula kami menjual kepada mereka pada harga sekitar RM8.40 sekilogram.
“Saya dapat rasa memang berlaku (ayam sakit), jika ada pihak yang sengaja mahu main harga dan menyebabkan bekalan kurang, ia biasanya ambil masa kira-kira dua minggu sahaja, ini sudah hampir sebulan, memang ada masalah bekalan di peringkat ladang,” katanya lagi.-UTUSAN ONLINE