PASIR PUTEH: Meskipun dilahirkan tidak sempurna, atlet angkat berat orang kurang upaya (OKU) dari Selising di sini, bangga berpeluang berbakti kepada negara apabila terpilih mewakili Malaysia dalam Asian Youth Para Games 2021.
Pada temasya membabitkan negara-negara dari benua Asia yang dijadual berlangsung di Manama, Bahrain pada 28 November hingga 7 Disember ini, Ahmad Shahmin Mohd. Kadri, 19, akan beraksi dalam kategori 80 kg.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu memberitahu Utusan Malaysia, acara terakhir pernah disertainya adalah Para Games Sukma di Perak sebelum terpaksa berehat panjang sejak tahun lalu apabila pendemik Covid-19 melanda negara.
Katanya, kesungguhannya menjalani latihan keras sepanjang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbaloi apabila baru-baru ini mencipta rekod mengangkat bebanan 100 kilogram.
“Dulu saya hanya mampu mengangkat bebanan seberat 20 kilogram sebelum keupayaan diri ditingkatkan selepas menjalani latihan intensif di sekolah dan Majlis Sukan Negara (MSN). Selain gigih berlatih, saya turut mengikuti diet khas dengan makan telur lima biji sehari.
“Saya berazam untuk dapatkan pingat emas bagi membuktikan OKU juga boleh mengharumkan nama negara,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim di Kampung Alor Hijau, di sini baru-baru ini.
Dalam kunjungan itu, Awan Kelantan turut menyerahkan sumbangan berupa set pakaian sukan serta duit poket kepada Ahmad Shahmin untuk dimanfaatkan remaja itu sepanjang berada di Bahrain bulan depan.
Sementara itu, ibunya Faridah Mat Isa, 48, berkata, Ahmad Shahmin yang cacat kedua-dua belah kaki sejak lahir selama ini aktif menyertai pelbagai sirkit pertandingan sukan melibatkan OKU di seluruh negara bersama Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insan).
Faridah yang merupakan suri rumah memberitahu, anaknya itu pada awalnya meminati sukan bola sepak dan sering bermain dengan rakan dalam kelas Pendidikan Khas di SMK Bukit Jawa. – UTUSAN ONLINE