PUTRAJAYA: Sejumlah pesawat pejuang dan kapal tentera laut bakal terlibat meraikan ulang tahun ke-50 Pengaturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) di perairan Singapura pada Isnin ini.
Menurut kenyataan akhbar Kementerian Pertahanan Singapura kelmarin, program berkenaan merupakan kemuncak penutup latihan ketenteraan yang dikenali sebagai Exercise Bersama Gold 2021 selama 10 hari dan diadakan sejak 8 Oktober lalu yang turut meliputi acara terbang lintas hormat dan perbarisan kapal korvet dekat Marina South mulai pukul 12 tengah hari.
FPDA ditubuhkan pada 16 April 1971 merangkumi Britain, Australia, New Zealand, Malaysia dan Singapura dengan markas induk bersama di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.
Malaysia kali ini menjadi tuan rumah latihan membabitkan sejumlah lebih 2,000 peserta yang dirasmikan Panglima Markas Pasukan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad.
Sebanyak 25 jet pejuang, enam pesawat sokongan, enam helikopter, 10 kapal perang dan sebuah kapal selam terlibat di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan.
Buat julung kali, latihan itu langsung tidak melibatkan sebarang bentuk fizikal, sebaliknya sesi perbincangan bagi pertukaran maklumat dan pengalaman berlangsung secara atas talian.
Mengulas lanjut, Kementerian Pertahanan Singapura memaklumkan bahawa, persembahan profil 1 dan 3 melibatkan enam jet gempur F-16C/D dan F-15SG tentera udara republik itu.
“Mereka akan membentuk formasi delta pada profil 1 sebelum lintas hormat pada profil 2 dan ditutup dengan persembahan pergerakan aksi rempuh bom pada profil 3 nanti,” katanya.
Acara pada profil 2 pula turut membabitkan dua pesawat tempur Sukhoi 30-MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kapal KD Lekiu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Tidak ketinggalan ialah dua jet pejuang F/A-18F Tentera Udara Diraja Australia serta sebuah helikopter SH-2G(I) dan pesawat pengangkut P-3K2 Tentera Udara Diraja New Zealand.
Perarakan kapal antaranya melibatkan HMAS Canberra Tentera Laut Diraja Australia, HMS Diamond Tentera Laut Diraja Britain, HMNZS Aotearoa Tentera Laut Diraja New Zealand.
Singapura pula ujar kenyataan tersebut, selaku hos acara sambutan ini bakal mempamerkan jet gempur F-15SG dan F-16C/D serta dua helikopter S-70B selain kapal RSS Steadfast.
FPDA diwujudkan seumpama blok pertahanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang berpusat di Belgium dan diasaskan sejak 1949, tetapi ia lebih kepada versi Asia Pasifik.
Bahkan, Kertas Putih dibentangkan Parlimen New Zealand pada 2016 lalu ada memaklumkan negara itu sedia melindungi Malaysia dengan apa cara sekalipun jika diserang musuh luar.
Laporan ini selaras jawapan bertulis di Parlimen Britain setahun sebelum itu mengesahkan FPDA mempertahankan Malaysia atau Singapura sekiranya berlaku perang tanpa diduga.- UTUSAN ONLINE