KLANG: Lebih 10,000 penduduk Kampung Johan Setia di sini, terdedah risiko keselamatan dan kesihatan akibat akibat masalah pelupusan sisa industri secara haram serta aktiviti pertanian melibatkan pembakaran terbuka dilakukan oleh warga asing yang berlarutan kira-kira lima tahun lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di sana, kawasan tanah gambut berkeluasan 0.5 hektar yang terletak kurang 100 meter dari rumah 50 penduduk berhampiran dilihat ditambak dengan timbunan bahan binaan serta sisa kilang seperti barangan elektronik selain terdapat aktiviti pertanian di sekelilingnya.
Kawasan berkenaan khususnya tanah persendirian yang dijadikan tapak pertanian dan disewakan kepada warga asing sering berlaku kebakaran menyebabkan tempat pelupusan sampah haram itu terbakar.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu didakwa terjadi kali kedua dalam tahun ini menyebabkan 14 keluarga yang tinggal berhampiran serta keseluruhan penduduk terpaksa menghirup udara tercemar akibat asap daripada kebakaran terbabit.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung itu, Mohamad Kamal Ismail berkata, pemerhatian pihaknya mendapati kegiatan berkenaan mula berleluasa sejak 2016.
Katanya, petani warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia itu kebiasaannya melakukan pembakaran terbuka pada sebelah malam.
“Segelintir daripada mereka dipercayai turut menceroboh tanah persendirian bagi melakukan aktiviti pertanian. Tahun ini, lima kebakaran dikesan berlaku antaranya melibatkan stor sisa pepejal, kebun petani dan tapak pelupusan sampah ha-ram,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tujuh negeri dilaporkan mengalami masalah pencemaran yang serius selepas aktiviti pelupusan sampah secara haram berlaku secara
berleluasa akibat tidak meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Negeri terbabit adalah Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak menyebabkan aktiviti penguatkuasaan dilakukan pihak berkuasa tempatan terhadap tapak pelupusan sampah haram tidak efektif.- UTUSAN ONLINE