APM sedia kerah 2,678 anggota hadapi banjir Sabah - Utusan Malaysia

APM sedia kerah 2,678 anggota hadapi banjir Sabah

ANGGOTA pertahanan awam membantu memindahkan mangsa banjir yang berlaku di Sabah sebelum ini. - IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah sedia menggerakkan 140 kenderaan logistik darat dan air bagi berhadapan musim banjir pada hujung tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah APM Sabah, Sharudin Md. Zain berkata, biasanya semasa monsun timur laut, Sabah akan dilanda banjir terutama di tiga kawasan yang telah dikenal pasti iaitu di bahagian pantai barat, utara dan juga sebahagian kawasan pedalaman.

Kawasan tradisi banjir seperti Beaufort, Tenom dan Kota Belud yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi terus diberi perhatian setiap kali musim banjir.

Justeru, APM bersiap siaga untuk mengerahkan 2,678 orang anggota seluruh Sabah untuk menghadapi bencana banjir.

“Setiap kali musim hujan, cabaran utama kita adalah semasa berlaku banjir kilat kerana paras air meningkat dengan pantas seperti yang sering berlaku di Penampang. Kami merancang untuk menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan yang akan dimulakan di Penampang sebelum diperluaskan ke kawasan lain.

“Kawasan ini sering dilanda banjir kerana pembangunan yang pesat tetapi tidak disertakan dengan kawasan takungan air yang boleh menampung taburan hujan yang tinggi,” katanya.

Tambah beliau, apa yang lebih membimbangkan ketika musim hujan adalah fenomena air pasang besar. Sekiranya hujan turun berterusan dan diikuti dengan fenomena air pasang, genangan air di Penampang akan bertakung lebih lama.

Jika dilihat sejak Mei lalu, Penampang sudah dilanda banjir kira-kira lima kali dan jika hujan berterusan hujung tahun ini, bencana banjir di daerah ini akan berulang sekali lagi.

Mengulas lanjut katanya, sebagai persediaan menghadapi banjir, sebanyak 302 pusat pemindahan sementara (PPS) sedia untuk digunakan bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir seluruh Sabah.

Apabila banjir berlaku semasa pandemik Covid-19, petugas di PPS perlu memastikan mangsa yang positif dan bergejala diasingkan daripada mangsa banjir yang lain bagi mengelakkan berlaku penularan semasa berada di PPS.

Malah, kapasiti dewan PPS juga dikurangkan kepada separuh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Sharudin berkata, keselamatan anggota APM juga diberi keutamaan ketika melakukan proses pemindahan mangsa-mangsa banjir untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Berikutan itu, apabila memasuki kawasan banjir dengan arus deras, hanya bot dengan kapasiti enjin yang tinggi sahaja boleh melalui kawasan tersebut dan pemakaian jaket keselamatan amat dititik-beratkan dalam kalangan anggota yang bertugas.

“Kita sentiasa memberi penekanan kepada aspek keselamatan anggota terutama dalam memastikan pemindahan mangsa banjir dilakukan oleh anggota yang mempunyai kemahiran berenang dan mahir mengendalikan risiko air,” katanya.

Tambah beliau, setiap kali berlaku banjir pasti ada dalam kalangan penduduk yang enggan berpindah kerana khuatir dengan harta benda yang ditinggalkan di rumah.

“Oleh itu, pasukan keselamatan berulang kali menasihatkan penduduk agar mengutamakan keselamatan nyawa terlebih dahulu dengan berpindah ke PPS atau kawasan yang selamat.

“Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir perlu sentiasa berwaspada dan berpindah dengan kadar segera apabila hujan lebat berlanjutan bagi tempoh tertentu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya