PETALING JAYA: Kehilangan permata seni, Allahyarham Mamat Khalid pastinya dirasai seluruh penggiat filem dan drama tanah air.
Pelakon berkredibiliti tinggi, Aaron Aziz menyanjung Allahyarham yang memiliki seni pengarahan dan garapan luar biasa.
“Allahyarham ada gaya pengarahan tersendiri lebih-lebih lagi dalam menghidupkan penceritaan berunsur komedi. Saya ibaratkannya seperti sutradara tersohor dunia, Quentin Tarantino.
“Dia memiliki kehebatan itu, menyusun dialog-dialog yang bagus. Kerana itu saya nak bekerja dengannya,” katanya.
Dalam pada itu, Aaron turut mengakui kehebatan Allahyarham yang berupaya melariskan sebuah filem tanpa menggunakan populariti pelakon-pelakon ‘trending’.
“Antara pengarah terbaik. Dia tak perlu artis popular, nama yang trending. Dia ambil pelakon veteran, tetapi filemnya tetap box office (pecah panggung).
“Semoga legasinya dapat dipelihara dan ada sutradara yang akan meneruskan cara pengarahannya sampai bila-bila,” katanya lagi.
Allahyarham Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
Difahamkan Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampong Paloh, Ipoh sekitar pukul 11 pagi tadi.