MELAKA: Seorang anggota bomba lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah berkenaan diselamatkan oleh rakan sepasukannya dan ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Difahamkan, anggota itu tersangkut dalam aliran deras air banjir, sebelum kira-kira lapan anggota bomba bersama 10 penduduk kampung lain menyelamatkannya.
Salah seorang saksi kejadian, Md. Yusof Hitam, 68, berkata, keadaan mula kecoh selepas penghuni rumah yang cuba diselamatkan oleh mangsa menjerit meminta tolong.
“Orang dalam rumah tu menjerit, mungkin selepas dia terkejut melihat anggota bomba berkenaan lemas dalam arus deras banjir.
“Kira-kira 20 orang turun cuba selamatkan mangsa termasuk anggota bomba lain seramai tujuh hingga lapan orang,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Putat di sini hari ini.
Beberapa kawasan di sekitar Ayer Keroh dan Jasin di sini dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan sejak pukul 2 petang tadi.
Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Tun Abdul Razak turut mendapati, laluan di persimpangan lampu isyarat Jalan Lingkungan Usaha menghala ke pusat bandar turut ditenggelami banjir dan ditutup kepada pengguna jalan raya.
Tambah Md. Yusof lagi, situasi cemas tersebut berlaku dalam tempoh kira-kira 15 minit, sebelum anggota berkenaan dibawa naik ke atas dengan selamat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka ketika dihubungi memberitahu, anggota tersebut dalam keadaan selamat, namun belum sedarkan diri. – UTUSAN ONLINE