PORT DICKSON: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memberi penghargaan mana-mana individu yang berani menegur individu lain yang membuang sampah merata-rata.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mokhtar berkata, menerusi kempen ‘Berani Tegur’ yang dilancarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pihaknya sangat menghargai mana-mana individu yang berani memberikan teguran tersebut.
Kata beliau, penghargaan itu termasuk kepada mereka yang merakam perbuatan dan membantu SWCorp mencari individu yang cuba membuang sampah.
Tambahnya, mana-mana individu yang berani menegur dan merakamkan gambar dan memuat naik ke dalam media sosial perlu dilihat sebagai hero dalam menjaga kebersihan.
“Jika mana-mana individu berani merakam dan menegur orang yang tidak bertanggungjawab membuang sampah mereka akan diberi penghargaan. Inisiatif mereka baik dan harus dipuji.
“Kempen ‘Berani Tegur’ ini ditujukan kepada golongan yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Mereka ini perlu diberikan kesedaran dan tidak sepatutnya membuang sampah terutama di lebuh raya atau kawasan tumpuan pelancong,” katanya selepas program Cabaran Kayuhan Negeri Sembilan Bersih sempena Hari Sukan Negara di Pantai Cahaya Negeri, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE