PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya buat sementara bagi membolehkan beliau menemani anak perempuannya Nooryana Najwa yang bakal bersalin awal November ini.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said dan bersidang bersama-sama Datuk Ravinthran Paramaguru dan Datuk Abu Bakar Jais memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan dan terdapat alasan yang munasabah.
Pasport tersebut akan diserahkan kepada Najib pada 20 Oktober ini bagi membolehkan Ahli Parlimen Pekan itu memperbaharui dokumen perjalanan tersebut sebelum terbang ke Singapura pada 3 November selepas selesai sesi pembentangan Belanjawan 2022.
Pada 15 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan semula pasportnya bagi tujuan sama.
Dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya, Rosmah menyatakan, Nooryana Najwa kini menetap di Singapura selepas mendirikan rumahtangga dengan warganegara Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev.
Najib dalam satu hantaran di akaun Twitter beliau menyatakan anak perempuannya itu telah tinggal di negara jiran sejak tiga tahun lalu. – UTUSAN ONLINE