MELAKA: Pelakon dan penyanyi era 80-an, Aman Shah dimasukkan ke Hospital Melaka semalam selepas mengalami serangan jantung di rumah kakaknya di Cheng Perwira, dekat sini.
Aman Shah yang terkenal dengan lagu ‘Kepulangan yang dinanti’ mengadu sakit dada dan tangan kebas sebelum kakaknya menghubungi ambulans.
Aman Shah atau nama sebenarnya Aman Shah Abu Kassim, 67, berkata, keadaannya kini dilaporkan stabil dan menunggu masa untuk keluar dari hospital.
“Alhamdulillah keadaan saya sudah stabil. Serangan jantung ini tidaklah kuat dan doktor pesan untuk saya berehat selepas keluar hospital nanti.
“Buat masa ini saya akan duduk di rumah kakak di Cheng Perwira mungkin untuk satu tempoh yang agak panjang. Saya perlu berehat buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Aman Shah, kejadian semalam adalah yang kedua berlaku, selepas kali pertama dialaminya di Kota Bharu, Kelantan, 10 Oktober lalu.
Beliau berkata, sewaktu kejadian, dia sedang menjalani penggambaran drama bersiri dan telah mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Keadaan itu, jelasnya, menyebabkan beliau terpaksa menarik diri daripada drama tersebut dan digantikan dengan pelakon lain.
“Saya terpaksa menarik diri kerana keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan. Saya agak kecewa juga tetapi apa boleh buat itu bukan rezeki saya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE