PETALING JAYA: Usahawan terkenal, Iqbal Zulkefli menzahirkan rasa terkejut selepas kedatangan jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) ke kediamannya, pukul tiga pagi tadi.
Menerusi entri Instagram, dia memuat naik beberapa hantaran Instastory yang memaparkan Vida memegang sebentuk cincin permata jenis tanzanite biru sambil memakainya di hadapan Iqbal.
Menurut Iqbal, dia mendakwa penyanyi poular lagu I Am Me itu seakan-akan menceroboh kediamannya tanpa pengetahuan walaupun sudah merahsiakan alamat daripada pengetahuan pelbagai pihak.
“Kedatangan Datuk Seri Vida di rumah saya pukul 3 pagi tadi tanpa pengetahuan saya. Kali terakhir saya berhubung dengannya pada September.
“Saya keluar tanpa berpakaian penuh, kerana fikir adik saya yang mengetuk pintu rumah. Alamat rumah saya pun entah dari mana dia jumpa. Saya layan sahaja dengan emosi yang tidaklah seberapa baik.
“Dia meninggalkan sebentuk cincin, pasti saya tidak akan sesekali pakai. Semestinya, saya akan memulangkan kembali. Saya sebenarnya penat sebegini,” katanya di Instastory.
Mengulas lanjut, Iqbal turut menghubungi pengawal keselamatan dengan mempertikaikan kebenaran untuk kenderaan milik jutawan tersebut dapat memasuki kawasan kediamannya pada waktu berkenaan.
“Saya akan siasat bagaimana kereta Datuk Seri Vida lepas untuk masuk ke kawasan rumah saya. Saya marah pada pengawal keselamatan.
“Macam mana boleh mudah lepas walhal ada dua tapisan pondok keselamatan untuk memasuki kawasan rumah saya?
“Kamera litar tertutup (CCTV) segenap penjuru, hanya pemegang kad sahaja yang boleh masuk. Biasanya pengawal keselamatan akan menghubungi terlebih dahulu jika ada orang datang,” jelasnya.
Terdahulu, namanya sekali lagi menjadi perbualan hangat warganet apabila dikatakan bakal berkahwin dengan usahawan terbabit, kembali diperkatakan.