Aktivis media sosial didakwa hantar komunikasi jelik hina Muhyiddin - Utusan Malaysia

Aktivis media sosial didakwa hantar komunikasi jelik hina Muhyiddin

S. Dayalan (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat komunikasi jelik menghina Muhyiddin Yassin dalam laman sosial Facebook pada Mei lalu. - UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang aktivis media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap tuduhan membuat hantaran komunikasi jelik dalam laman Facebook yang menghina bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mei lalu.

S. Dayalan selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 10.03 malam,  30 Mei lalu melalui aplikasi Facebook menggunakan nama `Dayalan Sreebalan’.

Kenyataan jelik itu kemudian dibaca kira-kira pukul 7.15 malam, 2 Jun lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wangsa Maju di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan Dayalan dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut pada 19 November ini untuk serahan dokumen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam M. Dinesh yang mewakili Dayalan memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan dua orang anak masing-masing berusia 10 tahun dan setahun setengah.

Peguam bela menyatakan, wang jaminan bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah manakala isteri dan rakannya hadir sebagai penjamin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN