PETALING JAYA: Dua aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Jordan membawa tuah buat pemain sayap lincah negara, Faisal Halim apabila dikatakan berjaya memikat beberapa kelab daripada luar negara.
Faisal yang beraksi bersama Terengganu FC (TFC) muncul antara pemain paling menonjol dalam pasukan negara di Amman, Jordan dan dikatakan mendapat perhatian dari dua ejen bola sepak luar negara.
Pemain berusia 23 tahun itu sekali lagi mempamerkan aksi membanggakan ketika berdepan Uzbekistan, malah turut terlibat dalam pergerakan mendapatkan gol tunggal buat pasukan negara ketika tewas 1-5.
Perkembangan itu dimaklumkan pengguna Twitter yang menggunakan nama, joe berbatov dan memperkenalkan dirinya sebagai ejen kepada Faisal iaitu dari syarikat Estrada Sports Agency.
“Saya mendapat dua panggilan dari ejen luar negara untuk Faisal Halim selepas perlawanan persahabatan antarabangsa negara menentang Jordan baru-baru ini.. tahniah,” tulisnya.
Perkongsiannya di media sosial itu turut mendapat perhatian ramai peminat khususnya penyokong skuad Penyu yang dilihat agak bimbang sekiranya Faisal berhijrah.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe turut mengakui Faisal atau mesra dipangggil Mickey mempamerkan aksi memberansangkan terutama ketika berdepan Uzbekistan, semalam.
“Bukan saja Faisal Halim yang nampak menonjol dalam kedua-dua perlawanan, secara keseluruhan ada beberapa pemain yang boleh dipertimbangkan ke skuad Piala Suzuki AFF 2020, Disember ini dan Kelayakan Piala Asia 2023, tahun depan,” ujarnya.