DUNGUN: Percutian sebuah keluarga dari Petaling Jaya, Selangor bertukar tragedi apabila dua daripadanya ditemukan mati lemas dalam kolam renang di sebuah resort terkenal di daerah ini, semalam.
Kejadian menimpa akauntan, Leong Choy Kee, 35, bersama anak lelakinya, Ng Ho Jun, 4, itu hanya disedari pengunjung selepas kedua-dua mangsa ditemukan terdampar di dasar kolam sedalam tiga meter.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.45 petang.
Katanya, siasatan mendapati dua beranak itu tidak pandai berenang dan punca kematian disahkan akibat lemas.
“Kedua-kedua mangsa diangkat keluar dari kolam oleh pekerja resort dan diberikan bantuan pernafasan sebelum dibawa ke Hospital Dungun dengan ambulans,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Baharudin berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian terletak kira-kira 15 meter dari bilik penginapan mangsa. – UTUSAN