Ahmad Zahid tahu penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi sejak 2014 - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid tahu penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi sejak 2014

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempunyai pengetahuan sejak 2014 berhubung penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi dalam akaun semasa dan tujuh akaun deposit tetap yang diamanahkan kepada beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah, perkara itu dibuktikan berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-90, Mejar Mazlina Mazlan bahawa Ahmad Zahid menjalankan pemeriksaan penyata bank dan buku cek sekali atau dua kali setahun.

Hujah beliau, pihak pembelaan mengetengahkan isu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri tidak menyedari sepenuhnya penggunaan cek Yayasan Akalbudi.

Hujah Raja Rozela, sebaliknya pendakwaan menyatakan, Ahmad Zahid mengetahui perkara itu dan menuding jari kepada Mazlina dalam usaha menjadikan bekas Setiausaha Eksekutif beliau sebagai kambing hitam (scapegoat) untuk menanggung perbuatannya.

Hujah pendakwaan, pada awal 2016, wujud khabar angin bahawa SPRM mula menjalankan siasatan terhadap Ahmad Zahid menyebabkan Mazlina diarah oleh tertuduh agar tidak menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kredit, sebaliknya bayaran dijelaskan secara tunai.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan menghujahkan agar Ahmad Zahid dipanggil membela diri terhadap semua 47 pertuduhan melibatkan kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hujah Raja Rozela, pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dengan mengemukakan keterangan saksi-saksi yang boleh dipercayai dan tidak goyah ketika sesi soal balas.

Pendakwaan menyatakan, Mazlina merupakan saksi pendakwaan yang boleh dipercayai dan seorang yang konsisten bukan sahaja ketika disoal balas oleh pembelaan, malah sewaktu sesi pemeriksaan utama dan pemeriksaan semula.

Hujah Raja Rozela, selaku saksi utama pendakwaan, Mazlina secara tegas menyatakan beliau mematuhi arahan Ahmad Zahid pada setiap masa termasuk berhubung isu penggunaan cop tanda tangan yang hanya dibenarkan untuk pembayaran kad kredit.

Menurut pendakwaan, sebagai pegawai tentera terlatih dan sentiasa menerima dan menurut arahan, Mazlina menjalankan tugas sebaik mungkin mengendalikan kewangan Ahmad Zahid, tidak mungkin beliau melanggar arahan secara terus daripada tertuduh.

Pendakwaan menghujahkan, jika sekalipun beliau cuai mengendalikan pembayaran kad kredit tertuduh, tiada sedikitpun bukti yang boleh mengaitkan niat jahat terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri sejak beliau berkhidmat selama tujuh tahun bermula 2011.

Sehubungan itu, pendakwaan menghujahkan, keterangan Mazlina perlu diterima oleh mahkamah kerana beliau merupakan individu yang bertanggungjawab mengendalikan urusan cek milik Yayasan Akalbudi.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu ini.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN