Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memohon agar pasportnya dikembalikan.

 

Ia bagi membolehkan beliau mendapatkan rawatan bagi sakit belakang dan leher yang dialaminya di Jerman.

 

“Anak guam saya perlu mendapatkan rawatan bagi sakit belakang dan lehernya. Rawatan yang diterima sekarang tidak mampu untuk meredakan kesakitan beliau,” kata peguamnya, Hamidi Mohd. Noh.

 

Permohonan tersebut dibuat ketika sebutan permohonan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Collin Lawrence Sequerah.

 

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

 

Mahkamah menetapkan Isnin ini (11 Oktober) untuk keputusan permohonan itu.

 

Pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar hujahan lanjutan timbalan pendakwa raya di akhir kes pendakwaan.

 

Ogos lalu, Ahmad Zahid pernah dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan intervensi sakit akibat tergelincir dan jatuh terduduk di bilik mandi di rumahnya.

 

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

 

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

 

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN