PETALING JAYA: Sebanyak 90 peratus remaja berusia 17 manakala 88 peratus berumur 16 tahun melihatkan pelajar sekolah Kementerian Pendidikan menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin Covid-19.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam akaun Twitter beliau hari ini.
“Dengan pembukaan sekolah hari ini, 90 peratus remaja 17 tahun dan 88 peratus remaja 16 tahun di bawah sekolah Kementerian Pendidikan telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin Covid.-19. Marilah bawa anak-anak kita kembali ke sekolah dengan selamat,” katanya.
Sebelum ini Kementerian Pendidikan memaklumkan pembelajaran bersemuka mulai semalam dan hari ini dibuat secara berperingkat mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, pembukaan sekolah di setiap negeri berkenaan adalah secara berperingkat dan tidak membabitkan semua murid.
Jelas beliau pembukaan sekolah di Terengganu, Kelantan dan di Langkawi bermula semalam adalah secara berperingkat, manakala negeri lain pula pada hari ini. – UTUSAN ONLINE