700 anak pokok bakau ditanam semula bantu pulih ekosistem - Utusan Malaysia

700 anak pokok bakau ditanam semula bantu pulih ekosistem

SHARIFAH Zakiah Syed Sahab (tengah) pada program Penanaman Pokok Bakau sempena Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri di MSM Prai Berhad, di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebanyak 700 anak pokok bakau ditanam semula oleh syarikat pengeluar gula terbesar negara, MSM Malaysia Holding Berhad (Kumpulan MSM) melalui anak syarikatnya, MSM Prai Berhad di sini dalam usaha mengekalkan ekosistem bakau berhampiran premis mereka. 

Projek penanaman semula yang merupakan sebahagian daripada proses pemulihan ekosistem bakau itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang. 

Selain membantu memulihkan ekosistem hutan paya laut yang menjadi habitat penting kepada pelbagai flora dan fauna, projek itu juga bertujuan mewujudkan benteng untuk menjaga pesisiran pantai daripada ancaman hakisan arus ombak yang kuat. 

Menurut Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, inisiatif yang diambil oleh MSM Prai Berhad itu bertepatan dengan tema Hari Alam Sekitar Negara yang akan disambut pada 21 Oktober ini iaitu ‘Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama’. 

“Inisiatif tersebut juga secara tidak langsung mendukung Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam tempoh lima tahun iaitu mulai tahun ini hingga 2025 nanti di seluruh negara di bawah RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12),” katanya. 

Terdahulu, beliau menandatangani perjanjian kerjasama strategik bersama MSM Prai Berhad dalam usaha-usaha pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar melalui platform ‘Rakan Alam Sekitar’ dan kempen alam sekitar yang dijalankan. 

Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan perasmian untuk program Penanaman Pokok Bakau sempena Hari Alam Sekitar Negara 2021 peringkat negeri di Prai hari ini. 

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Prai Berhad, Syed Feisal Syed Mohammad. 

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah memberitahu, selain program tersebut pihaknya telah merangka pelbagai aktiviti sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 di negeri ini yang boleh diakses menerusi akaun Facebook JAS negeri. 

“Usaha pemuliharaan alam sekitar melalui program-program sebegini daripada pihak swasta amat digalakkan serta dialu-alukan dan pihak kami juga akan sentiasa bersedia memberikan sokongan serta kerjasama dalam usaha yang murni ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN