PUTRAJAYA: Penubuhan Tabung Wakaf Masjid Hijau dijangka memberi manfaat kepada 6,512 masjid dan 18,267 surau berdaftar di negara ini bagi membiayai pelbagai aktiviti dan projek teknologi hijau.
Dalam satu kenyataan bersama Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, Tabung Wakaf Masjid Hijau yang berkonsepkan dana awam akan mengumpulkan sumbangan individu, sektor kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk disalurkan kepada masjid.
Katanya, tabung itu adalah susulan daripada program Rumah Ibadat Hijau (RIH) yang dilancarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada 25 September 2020.
“Tabung ini akan membiayai aktiviti dan projek yang dilengkapi dengan teknologi hijau seperti penukaran kepada lampu diod pemancar cahaya (LED), penukaran kepada kipas atau penghawa dingin yang cekap tenaga dan pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di masjid.
“Anggaran penggunaan tenaga elektrik dan air di seluruh masjid adalah sebanyak 2,691 GigaWattjam (GWj) dan 146.2 juta meter padu (m3) bersamaan dengan kos elektrik sebanyak RM1.3 billion dan air sebanyak RM67.23 juta setahun manakala anggaran penggunaan tenaga elektrik dan air di seluruh surau adalah sebanyak 600 GWj dan 102.5 juta m3 bersamaan kos elektrik sebanyak RM310 juta dan air sebanyak RM47 juta setahun,” katanya sempena pelancaran Tabung Wakaf Masjid Hijau hari ini.
Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, objektif program RIH adalah menjadikan rumah ibadat sebagai pusat pemangkin kelestarian alam sekitar dalam memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah dan memberi contoh bangunan komuniti cekap tenaga, cekap air, mesra alam dan rendah karbon di kawasan setempat.
Katanya, program RIH ini menekankan kepada empat elemen hijau iaitu penjimatan tenaga elektrik, penjimatan air, pengurangan sisa dan pengurusan sisa buangan dengan teratur serta menggalakkan pembelian dan penggunaan produk hijau.
“Pelaksanaan inisiatif teknologi dan amalan hijau ini, dianggarkan hasil penjimatan sebanyak 10 peratus dalam penggunaan tenaga elektrik dan air, ini dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 192,000 tCo2 setara bersamaan dengan menanam sebanyak 4.8 juta pokok.
“Inisiatif ini juga secara tidak langsung menyokong usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) ke arah bandar rendah karbon pada tahun 2030,” katanya.
Pada masa sama, jelasnya, instrumen wakaf akan membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan inisiatif pembiayaan yang inovatif ini berpotensi dijadikan rujukan dan diperluaskan dalam konteks menyediakan alternatif pembiayaan projek-projek teknologi hijau di Malaysia dan menjadi contoh kepada sektor yang lain,” katanya.