60% pelancong negara mahu melakukan perjalanan udara domestik - Utusan Malaysia

60% pelancong negara mahu melakukan perjalanan udara domestik

Perkhdmatan berkualiti yang diberikan oleh KLIA membolehkan lapangan terbang itu dinobatkan antara terbaik di dunia menerusi tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 60 peratus pelancong negara menyatakan harapan mereka untuk melakukan perjalanan udara ke destinasi dalam negara, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Menurut MAVCOM, pihaknya telah melaksanakan satu tinjauan pengguna antara Februari dengan Mei tahun ini dan ia melibatkan responden-responden dari Malaysia yang telah menaiki penerbangan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan sebelum tinjuan tersebut dijalankan.

“Tinjauan yang dikendalikan oleh NielsenIQ itu menunjukkan peningkatan dan harapan terhadap perjalanan udara, di mana 60 peratus daripada 1,000 responden telah menyatakan harapan mereka untuk melakukan perjalanan udara ke destinasi dalam negara.

“Antara sebab yang dinyatakan bagi pilihan perjalanan udara domestik termasuklah kos perjalanan yang lebih rendah, risiko pendedahan yang tinggi terhadap Covid-19 sekiranya melakukan perjalanan udara ke destinasi antarabangsa serta responden-responden yang tinggal bersama ahli keluarga yang berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, responden yang selebihnya iaitu sebanyak 40 peratus memilih perjalanan udara ke destinasi antarabangsa. 

Suruhanjaya itu memberitahu, sebanyak 72 peratus daripada responden tersebut memberi pertimbangan untuk mengunjungi destinasi-destinasi di Asia, dengan tiga negara pilihan teratas ialah Jepun, China dan Korea Selatan.

Hasil tinjauan itu juga menunjukkan titik sentuh perjalanan utama di lapangan terbang perlu direka semula untuk merangkumi langkah-langkah bagi pengawalan khalayak ramai dan penjarakan sosial, sanitasi berkala dan penyediaan kemudahan tanpa sentuh.

Penggunaan teknologi digital seperti dokumen perjalanan tanpa kertas dan kemudahan e-pembayaran, antara lain, adalah beberapa perkara yang menjadi harapan pengguna dan ditekankan dalam tinjauan terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, walaupun penumpang penerbangan di Malaysia masih berwaspada dengan keadaan penularan wabak yang tidak menentu dan kekal berhati-hati untuk mengelak jangkitan Covid-19, hasil tinjauan itu menunjukkan rakyat Malaysia tidak sabar untuk melakukan perjalanan udara dalam sektor domestik dan antarabangsa.

“Dengan penemuan kajian itu, kami berharap para pemain industri yang relevan akan berusaha untuk terus berwaspada dan membuat penambahbaikan yang sewajarnya di titik-titik utama perjalanan udara untuk menambah keyakinan masyarakat, selari dengan usaha kita untuk melangkah lebih jauh ke arah pembukaan sektor penerbangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya