SHAH ALAM: Semua pihak pengurusan masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor perlu memastikan sekurang-kurangnya 40 jemaah termasuk imam mencukupi untuk menunaikan solat itu.
Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir berkata, pihaknya merujuk kepada ketetapan baharu yang sudah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini.
Katanya, ketetapan itu berkaitan jemaah solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di semua masjid dan Surau Kebenaran Solat Jumaat Negeri Selangor yang berkuatkuasa pada 22 September lalu.
“Jabatan Mufti Selangor mengambil maklum akan ketetapan qaul muktamad Mazhab Syafie.
“Ia menyatakan bahawa solat Jumaat hanya sah didirikan oleh sekurang-kurangnya 40 orang yang bermastautin di satu-satu kariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Anhar meminta semua pengurusan masjid dan surau kebenaran mencukupkan jumlah jemaah berkenaan sebelum kewajiban fardhu Jumaat ditunaikan.
“Jika jemaah masih tidak mencukupi selepas menunggu satu tempoh waktu, maka dikehendaki mendirikan solat Zohor kerana tidak cukup syarat sah Jumaat.
“Pengurusan masjid dan surau perlu berusaha mencukupkan bilangan 40 jemaah bagi memenuhi syarat sah solat berkenaan,” katanya.
Penurunan kes semasa Covid-19 yang terus konsisten dan terkawal membolehkan kehadiran jemaah bagi menunaikan solat Jumaat dan fardu di Selangor dipertingkatkan kepada 250 hingga 1,000 orang.
Berdasarkan pekeliling JAIS, kebenaran itu juga susulan peningkatan peratus vaksinasi lengkap dan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri serta beberapa indikator yang sangat signifikan.
Kebenaran itu hanya kepada mereka yang telah lengkap dua suntikan vaksinasi dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan (14 hari).
Pada 3 September lalu, jumlah bilangan jemaah bagi menunaikan solat Jumaat dan fardu dipertingkatkan kepada 50 hingga 100 orang berbanding hanya enam sebelum ini. -UTUSAN ONLINE