32,000 pekerja asing dibawa masuk kerja di ladang kelapa sawit - Utusan Malaysia

32,000 pekerja asing dibawa masuk kerja di ladang kelapa sawit

ZURAIDA Kamaruddin (dua kanan) melihat biji benih kenaf yang dibekalkan kepada penanam kenaf di Kedah dan Perlis di Pusat Pemprosesan Biji Kenaf, Jitra hari ini. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA: Kerajaan terpaksa membawa masuk seramai 32,000 pekerja asing di sektor perladangan selepas rakyat tempatan tidak berminat untuk mengisi kekosongan kerja dalam sektor tersebut.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, syarikat perladangan terbabit menawarkan pendapatan lumayan sehingga mencecah RM1,200 sebulan dan tidak termasuk bayaran kerja lebih masa serta beberapa elaun.

Menurutnya, kementeriannya bimbang dengan kekurangan buruh tempatan akan memberi masalah kepada sektor perladangan pada masa hadapan terutamanya kerja menuai buah di ladang kelapa sawit.

“Pekerja tempatan boleh buat kerja menuai jika mahu, tetapi mereka kata berat dan susah. Gaji kerja ladang lumayan sebenarnya, syarikat bayar gaji pokok RM1,200 sebulan dan kerja lebih masa boleh dapat lebih RM2,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemprosesan Biji Kenaf di sini hari ini.

Zuraida memberitahu, pekerja asing untuk bekerja di sektor perladangan itu dijangka tiba di negara ini selewat-lewatnya awal bulan depan.

Tambahnya, mereka akan dibawa ke ladang-ladang yang memerlukan pekerja yang ramai untuk menuai buah kelapa sawit.

“Oleh kerana harga sawit tinggi ketika ini, kita kena cepat (membawa pekerja asing) untuk mengelak buah terbiar dan reput menyebabkan kerugian,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, hasil jualan minyak sawit dijangka naik kira-kira 40 peratus dan dijangka dapat memberi pulangan dalam RM20 bilion kepada negara sebelum hujung tahun ini.

“Kesan kenaikan harga minyak sawit yang kini mencecah lebih RM5,000 satu tan juga memberi faedah kepada pekebun kecil apabila turut menikmati peningkatan pendapatan,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, menurutnya, nilai eksport pelbagai komoditi negara mencecah RM137.4 bilion dan jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan permintaan pasaran yang masih tinggi ketika ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya