KUALA NERUS: Seramai 2,500 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dijangka kembali ke kampus secara berperingkat, mulai Jumaat ini.
Naib Canselornya (Menjalankan Fungsi), Prof. Dr. Fazli Adam berkata, bagi penuntut baharu pula, kemasukan seramai 1,961 orang bermula 28 Oktober.
Katanya, persiapan lengkap sudah dilakukan pihak universiti selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Kesemua tiga kampus Unisza di Gong Badak, Besut dan Perubatan sudah bersiap-sedia bagi urusan kemasukan pelajar menerusi tiga fasa.
“Kemasukan bermula dengan pelajar yang menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka disusuli pelajar baharu dan kumpulan tidak berkeperluan pada 13 November,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fazli berkata, bagi pelajar yang menjalani kursus atau program dalam talian, mereka boleh memilih untuk meneruskan PdP dari lokaliti masing-masing tanpa perlu kembali ke kampus. – UTUSAN ONLINE