PETALING JAYA: Sebanyak 20,000 maksimum penonton atau 50 peratus daripada kapasiti tempat duduk di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021.
Perkara tersebut disahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini, dengan 10,000 maksimum penonton atau 30 peratus daripada kapasiti tempat duduk bagi negeri yang menjalani Fasa 3 PPN.
Tambah MFL, negeri Fasa 2 PPN pula adalah 20 peratus daripada kapasiti tempat duduk atau maksimum 5,000, dengan kesemua penonton perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
“MFL mahu merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang sebelum ini telah mengumumkan kebenaran kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4,” kata Presiden MFL, dalam satu kenyataan.