LANGKAWI: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menyasarkan sebanyak 20 juta pokok akan ditanam di seluruh negara menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 pada setiap tahun.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini dianggarkan sebanyak 17 juta pokok telah ditanam dalam menjayakan kempen sempena program penghijauan Malaysia.
Menurutnya, antara spesies pokok yang ditanam ialah merbau, meranti, merawan, sentul dan petai.
“Kempen Penanam Pokok 2021-2025 akan diperkasakan melalui program penanaman pokok di Bukit Malut, Langkawi.
“Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Negeri Kedah sebelum ini telah menanam 1,000 pokok yang terdiri daripada pelbagai spesies,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Penanaman Pokok Sempena Program Penghijauan Malaysia bersama komuniti Kampung Chandek Kura di Hutan Simpan Bukit Malut, di sini hari ini.
Sementara itu, Takiyuddin memberitahu, sebanyak 600,000 pokok telah ditanam melibatkan kawasan seluas 109 hektar setakat Oktober lalu di negeri ini.
Tambahnya, pokok-pokok tersebut ditanam pelbagai pihak di negeri ini di bawah kempen tersebut.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13,672 pokok telah direkodkan ditanam di Langkawi,” ujarnya.
Pada masa sama, katanya, KeTSA berharap lebih ramai penduduk di Langkawi menjayakan kempen tersebut khususnya generasi muda dalam usaha menghijaukan Langkawi menerusi penanaman pokok bakau dan spesies lain. – UTUSAN