PARIS: Sejumlah 20 buah basikal milik skuad kebangsaan Itali bernilai ratusan ribu euro telah ‘dikebas’ semasa Kejohanan Trek Berbasikal Dunia di Roubaix, Perancis.
Sebanyak 15 basikal trek dan lima lain dicuri pada Jumaat lalu di hotel di Lille, di mana pelumba Itali menetap di sana bagi menyertai kejohanan selama lima hari itu.
Antara yang dicuri seperti basikal berwarna emas yang digunakan Filippo Ganna, Liam Bertazzo, Jonathan Milan dan Simone Consonni ketika memenangi acara kejar-mengejar berpasukan pada Khamis lalu.
Ia hilang selepas kakitangan memuatkan basikal ke dalam sebuah bas mini, yang diparkir di tempat letak kereta hotel untuk dibawa pulang ke Itali.
Kerugian untuk setiap basikal milik acara kejar-mengejar berpasukan itu dianggarkan bernilai 30,000 euro (RM144,836.23), dengan satu palang pemegang titanium yang dicat dengan 3D sahaja mencecah 10,000 euro (RM48,278.74).
Menurut laporan akhbar Itali, La Gazzetta dello Sport, polis percaya kecurian itu dilakukan dengan profesional, yang tahu kenderaan mana untuk dipecah masuk.
“Mereka menjalankan tugas dengan teratur. Kami tahu pelbagai kesukaran akan dihadapi, jadi kami memilih untuk menetap di hotel yang lebih privasi, selain memiliki tempat letak kereta peribadi.
“Malah kami juga berdepan cabaran untuk ulang-alik (dari hotel ke venue) setiap hari. Begitupun, langkah-langkah ini tetap gagal menghalang perilakunya,” kata ketua delegasi Itali Roberto Amadio.- AGENSI