TAIPING: Zoo Taiping dan Night Safari mencatat kehadiran 18,000 pengunjung dalam tempoh lima hari sejak ia dibuka pada Isnin.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, prestasi itu amat memberangsangkan dan berharap jumlahnya terus bertambah.
“Kita lihat prestasi ini amat memberangsangkan kerana minat dan pilihan Zoo Taiping sebagai destinasi keluarga masih lagi kekal dan berharap ia berterusan masa akan datang,” katanya selepas Pelancaran Platform Zoo Maya ‘MyZooTaiping’ bersempena Sambutan Hari Zoo Sedunia di Pavilion Zoo Taiping dan Night Safari di sini, hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Fakhrul Hatta Musa dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir.
Menurut Nolee Ashilin, dijangkakan jumlah pengunjung bertambah 10 hingga 20 peratus selepas program ‘MyZooTaiping’ diperkenalkan bermula hari ini.
Beliau berkata, inisiatif ‘MyZooTaiping’ bertepatan untuk menggalakkan bukan sahaja pelancong domestik tetapi juga luar negara apabila pintu sempadan antarabangsa dibuka.
Katanya, platform zoo maya yang dilancarkan hari ini merupakan yang pertama di Asia. – UTUSAN ONLINE