PUTRAJAYA: Seramai 17 rakyat Malaysia ditempatkan secara sementara di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia di ibu kota Khartoum susulan rampasan kuasa tentera Sudan kelmarin.
Kementerian Luar memaklumkan, seorang petugas syarikat kebangsaan, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) warganegara Thailand turut mendapat perlindungan di premis berkenaan.
“Pihak kementerian terus memantau rapat segala perkembangan terkini di Sudan termasuk demonstrasi berlarutan di seluruh negara itu,” kata Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini.
Isnin lalu, kementerian itu mengesahkan kesemua 42 warga Malaysia yang berada di Sudan dalam keadaan selamat ekoran ketegangan krisis politik di negara timur benua Afrika tersebut.
Tentera Sudan melancarkan rampasan pada awal hari berkenaan selepas gagal berbuat demikian pada 21 September lalu setelah berjaya menahan Perdana Menteri, Abdallah Hamdok.
Jeneral Abdel Fattah al-Burhan yang menggulingkan kerajaan sementara juga mengisytihar darurat nasional dan memansuhkan Majlis Kedaulatan Sudan yang ditubuhkan pada 2019.
Wisma Putra memaklumkan, jumlah sebenar rakyat Malaysia yang berada di negara itu adalah 50 orang termasuk 25 pelajar yang berdaftar dengan pihak kedutaan.
“Para pegawai kedutaan turut sentiasa berhubung rapat dengan mereka dan mengambil inisiatif membawa individu yang terjejas berpindah sementara ke kediaman rasmi duta,” jelasnya.
Premis itu terletak di House 17, Blok B21, Street Khalifa Abdullah, Al Riyadh iaitu 7.5 kilometer atau 25 minit berkereta dari pejabat canseri diplomatik Malaysia di Kompleks Petronas Sudan.
Bangunan berkenaan turut menempatkan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensinya selain pelbagai organisasi antarabangsa lain serta berhadapan dengan Sungai Nil Biru.
Menurut Wisma Putra, pihak kedutaan telah pun mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia yang lain untuk lebih mengutamakan keselamatan dan menghindari kawasan konflik.
Rakyat Malaysia di negara tersebut yang memerlukan bantuan konsular juga boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kompleks Petronas Sudan, Blok 7, Nile Avenue, Khartoum.
Ini meliputi saluran telefon +249 99 070 0350 atau e-mel kepada [email protected] atau wadah media sosial Facebook @Malawakil.Khartoum atau Twitter @MYEmbKhartoum.