SEGAMAT: Dua penjenayah yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di daerah ini sejak dua bulan lalu menyasarkan kunci rumah yang ditinggalkan di tepi tingkap tidak berkunci oleh pemilik kediaman.
Bagaimanapun, kegiatan terbabit tumpas selepas dua penagih dadah ditahan polis dalam satu serbuan di kawasan sebuah kediaman sekitar Segamat Baru, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Mohd. Noh berkata, tangkapan itu susulan empat laporan diterima daripada mangsa memaklumkan rumah mereka antaranya di sekitar Segamat dan taman perumahan di Bukit Siput, di sini dipecah masuk beberapa bulan lalu.
Menurut Bahrin, kedua-dua suspek dipercayai memeriksa tingkap yang tidak berkunci terutama di ruang tamu rumah sebelum mencapainya kunci.
Suspek melarikan pelbagai barangan berharga antaranya wang tunai dan telefon bimbit ketika mangsa sedang nyenyak tidur.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat membuat tangkapan ke atas dua individu warga tempatan berusia 29 dan 48 tahun sekitar 5 pagi semalam.
“Kedua-dua individu yang aktif melakukan jenayah itu mempunyai beberapa rekod lampau antaranya melibatkan penyalahgunaan bahan terlarang, ugutan jenayah serta menghalang tugas penjawat awam.
“Hasil soal siasat awal yang dijalankan mendapati suspek turut melarikan wang tunai diletakkan oleh mangsa dalam tokong mini untuk upacara kerohanian sekitar kediaman,” katanya ketika ditemui pemberita di IPD Segamat, di sini, hari ini.
Bahrin berkata, polis turut merampas lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah iPad dipercayai milik mangsa dan siasatan mengenai modus operandi suspek masih dijalankan bagi mengenal pasti kerugian sebenar kesemua mangsa.
“Tidak salah membuka tingkap berjeriji di kediaman untuk menghirup udara segar terutama waktu malam tetapi pastikan kunci kediaman tidak diletakkan berhampiran pintu atau tingkap,” tambahnya.
Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua suspek warga tempatan sebagai buruh itu positif Heroin dan direman lima hari bermula semalam ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE